Search

Wanita Bukan Muslim Sebagai Juruterapi Kecantikan dan Tukang Urut di Spa Muslimah

Wanita Bukan Muslim Sebagai Juruterapi Kecantikan dan Tukang Urut di Spa Muslimah

Soalan: Bolehkah saya mengambil staf bukan Muslim bekerja sebagai juruterapi kecantikan dan tukang urut di spa Muslimah saya? Ini kerana di Sarawak agak sukar untuk mendapatkan pekerja wanita Muslimah dalam bidang ini.

Pada asasnya, hukum menurut aurat bagi lelaki dan wanita adalah wajib. Firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ 

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”  (Surah al-Nur :31)  

Rasulullah SAW pernah menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA: 

 يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا  

Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).” [ Riwayat Abu Daud, no. 4104 dan al-Baihaqi, no. 3218]

Dalam mazhab Syafi‘i, batas aurat wanita sesama wanita terbahagi kepada dua kategori utama: Sesama wanita Muslim – auratnya ialah bahagian tubuh antara pusat hingga lutut. [Lihat Nihāyat al-Muhtāj, 6: 188-189]. Dengan wanita bukan Muslim – auratnya sama seperti aurat wanita Muslim di hadapan lelaki ajnabi (wajah dan kedua tapak tangan). [Lihat al-Mawsū’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, 1: 47). 

Pun begitu, terdapat pengecualian menurut pandangan Imam al-Shirbīnī. Katanya:

“Ya, menurut pendapat pertama, dibolehkan (wanita bukan Islam) melihat apa yang kebiasaannya tersingkap ketika seorang wanita bekerja di rumah, berdasarkan pandangan yang lebih kuat dalam al-Raudah dan rujukannya yang asal; dan inilah yang dianggap sebagai pegangan muktamad. Pendapat kedua mengatakan: tidak haram kerana adanya kesamaan jantina, sebagaimana halnya dalam kalangan lelaki – di mana para ulama tidak membezakan antara pandangan lelaki kafir kepada lelaki Muslim dengan pandangan lelaki Muslim sesama mereka.”” [Lihat Niḥāyat al-Muhtāj, 6: 194]

Ringkasnya, terdapat pandangan Shāfi'iyyah membolehkan wanita bukan Islam melihat anggota yang biasa tersingkap ketika wanita bekerja di rumah seperti wajah, kepala, tangan hingga siku, kaki hingga lutut. Namun ada juga pandangan kedua yang lebih longgar, iaitu aurat sesama wanita tetap sama (antara pusat dan lutut) kerana kesamaan jantina. 

Justeru, berdasarkan pandangan kedua ini dibolehkan tuan mengambil staf bukan Muslim bekerja sebagai juruterapi kecantikan dan tukang urut di spa Muslimah. Ini juga mengambil kira demografi Sarawak di mana umat Islam adalah minoriti dan ini sudah pasti membawa kepada kesukaran untuk mendapatkan juruterapi kecantikan dan tukang urut Muslimah di sana. Mungkin pada masa akan datang, pihak tuan boleh bekerjasama dengan Majlis Islam Sarawak bagi menaja asnaf wanita untuk mendapatkan latihan persijilan dalam bidang tersebut, seterusnya meramaikan lagi juruterapi kecantikan dan tukang urut Muslimah di sana. Wallahu a'lam.

 

Mohamad Razif Mohamad Fuad

Mohamad Razif Mohamad Fuad

Dr. Mohamad Razif is a lifelong learner in Islamic theology, philosophy, and contemporary ideological studies. He earned his B.A. in Akidah and Religious Studies from Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), M.A. in Islamic Revealed Knowledge and Heritage (Usul al-Din and Comparative Religion) from the International Islamic University Malaysia (IIUM), and Ph.D. in Akidah and Islamic Thought from Universiti Malaya (UM).  Internationally, he is an alumnus of the U.S. Department of State’s International Visitor Leadership Program (IVLP), engaging in global dialogues on interfaith, civil society, and contemporary thought.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Your experience on this site will be improved by allowing cookies Cookie Policy