Soalan: Apakah hukum berdiri (maḥall al-qiyām) ketika berqasidah memuji Rasulullah SAW?
Dalam tradisi orang Melayu, pembacaan maulid telah menjadi amalan turun-temurun yang sarat dengan nilai penghormatan kepada Nabi Muhammad SAW. Salah satu momen penting ialah ketika pembaca maulid sampai pada bahagian maḥall al-qiyām yang menceritakan kelahiran Baginda; pada saat itu, para hadirin berdiri serentak lalu bersama-sama melantunkan qasidah Yā Nabī Salām ʿAlaika. Tradisi ini bukanlah sesuatu yang baharu, bahkan telah diamalkan ratusan tahun lamanya serta mendapat perhatian para ulama. Sayyid Abu Bakar ʿUthmān bin Muhammad Zainal ʿĀbidīn Syathā al-Dimyāṭī al-Bakrī menukilkan:
Faedah: Sudah menjadi kebiasaan bahawa apabila orang ramai mendengar kisah kelahiran Nabi, mereka berdiri sebagai bentuk penghormatan. Berdiri ini adalah sesuatu yang terpuji kerana mengandungi makna pengagungan kepada Nabi, dan hal itu telah dilakukan oleh ramai ulama umat yang menjadi ikutan. (Lihat I'ānat al-Tālibīn, 3:363]
Namun, jika berdiri kerana di'tiqadkan bahawa Nabi hadir dalam majlis tersebut, maka ia adalah batil dan kepercayaan sebegitu wajib ditinggalkan. Hal ini ditegaskan oleh Shaykh 'Abd Ḥayy al-Laknawī:
“Dan di antaranya apa yang mereka sebutkan bahawa Nabi ﷺ hadir secara fizikal [binafsihi] di majlis-majlis dan ketika disebut kelahirannya, lalu mereka berdiri ketika menyebut kelahirannya sebagai pengagungan dan pemuliaan. Dan ini juga termasuk daripada kebatilan, tidak ada dalilnya. “Kemungkinan” dan “andaian” terkeluar daripada batas penjelasan…" [al-Āthār al-Marfū'ah fī al-Akhbār al-Mawḍū'ah, 46]
Adapun pandangan ulama yang menyatakan roh Nabi ﷺ boleh hadir dalam majlis maulid, ia tidak disertakan dengan hujah yang kukuh. Apa yang lebih jelas, Allah SWT berfirman:
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٨٥﴾
Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja". [Surah al-Isra': 85]
Maka - tanpa mengurangkan rasa hormat kepada ulama yang berpegang dengan keharusan roh Nabi ﷺ boleh hadir dalam majlis maulid - saya melihat pandangan tersebut pada zaman ini, lebih mudah dimanipulasi oleh segelintir pihak untuk kepentingan tertentu.
Penutup
Kesimpulannya, amalan berdiri ketika maḥall al-qiyām dalam majlis maulid adalah harus dan terpuji selama ia diniatkan sebagai bentuk penghormatan serta pengagungan kepada Rasulullah SAW. Namun, ia menjadi batil dan tercela sekiranya disertai dengan i‘tiqad bahawa Nabi SAW hadir secara jasad dalam majlis tersebut. Pandangan roh Nabi ﷺ hadir dalam maulid tidak disertai hujah yang kukuh dan pada zaman ini ia mudah dimanipulasi pihak tertentu. Justeru, pandangan yang lebih selamat adalah berdiri sebagai simbol cinta, syukur, dan penghormatan, bukan kerana mempercayai kehadiran fizikal atau roh baginda dalam majlis. Wallāhu a'lam.
Leave a comment
Your email address will not be published. Required fields are marked *