Soalan: Salahkah saya mengamalkan yoga semata-mata tanpa sebarang unsur keagamaan?
Hadith daripada Abu Abdullah al-Nu'man bin Basyir R.A. bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:
إن الحلال بيّن وإن الحرام بيّن، وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام، كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه، ألا وإن لكل ملك حمى ألا وإن حمى الله محارمه. ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله. وإذا فسدت فسد الجسد كله: ألا وهي القلب»
“Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjatuh di dalam (melakukan) perkara syubhah, sama seperti ia terjatuh di dalam (melakukan) perkara yang haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.” Riwayat al-Bukhari (3842)
Jika tujuan anda ialah ketenangan, fokus, fleksibiliti dan kesihatan, semua itu boleh dicapai sepenuhnya melalui tafakkur, zikrullah, regangan neutral, Pilates/latihan teras. Maka tidak ada keperluan pun untuk “yoga”, bahkan meninggalkannya lebih selamat bagi akidah dan jati diri Muslim.
Dengan mengambil kira kaedah sadd al-zarā'i' iaitu menyekat atau mencegah setiap jalan atau perantaraan yang harus dilakukan sekiranya ia membawa kepada kerosakan dan kemudharatan, saya melihat praktis yoga itu sendiri perlu dielakkan. Kaedah ini menuntut bukan sahaja pemeriksaan fizikal perbuatan seperti postur tubuh, tetapi juga ekologi simbol dan bahasa yang mengiringinya kerana simbol/mantera sering menjadi wasilah normalisasi akidah asing. Justeru, unsur seperti mantera Sanskrit, mudra, rangkaian postur tubuh Surya Namaskār सूर्यनमस्कार, (yang berakar pada penyembahan matahari), postur tubuh Natarājāsana yang menjadi simbol Dewa Shiva, dan retorik “chakra/tenaga”, dilihat sebagai pintu yang membuka kekeliruan, penyerupaan (tashabbuh) dan melunturkan sempadan antara Tuhan dan manusia.
Dalam Islam, jalan menuju ketenangan rohani dan kejernihan minda sudah jelas: tafakkur, murāqabah, zikir, tilawah al-qur'ān, doa, solat. Untuk kesihatan jasmani, Islam tidak menyekat senaman neutral seperti regangan, latihan pernafasan klinikal, kekuatan teras, mobiliti sendi (misalnya pendekatan Pilates atau fisioterapi) selagi mematuhi hukum syarak. Jika matlamat yang baik dapat dicapai tanpa meminjam bingkai kerohanian agama lain, maka prinsip memelihara jati diri Muslim akan mendorong kita memilih jalan yang lebih bersih dari sudut akidah.
Kesimpulannya, jika ketenangan, fokus dan kesihatan boleh dicapai sepenuhnya melalui amalan Islam dan senaman neutral, maka memilih jalan itu lebih menjaga akidah, lebih jelas dari sudut kaedah, dan lebih memelihara jati diri Muslim. Postur yang asalnya milik agama lain walau dipersembahkan sebagai “sekadar senaman”, tetap membawa risiko normalisasi akidah lain. Pilih yang bersih, jelas, dan mencukupi kerana Islam sudah menyediakan jalan yang lebih selamat dan memadai. Wallāhu a'lam.
Leave a comment
Your email address will not be published. Required fields are marked *
