Soalan: Apakah hukum bersuci dengan air zamzam?
Air Zamzam merupakan air paling utama di muka bumi, yang diberkati dan masyhur dalam syariat serta mempunyai banyak manfaat kesihatan. Ia terletak di Masjidil Haram berdekatan Kaabah, dan sejak zaman Nabi SAW lagi, umat Islam sangat memuliakannya. Ia juga digunakan Jibril untuk mencuci dada Rasulullah SAW dalam peristiwa Isra’ Mi’raj, menandakan keistimewaannya yang luar biasa.
Dalam buku Al-Tabarruk: Aḥkāmuhu wa Anwāʿuhu oleh Dr. Nāṣir bin ʿAbd al-Raḥmān bin Muḥammad Al-Judaʿī (hlm. 279-294) dinyatakan kelebihan air Zamzam. Antaranya adalah:
Air terbaik di dunia – disabdakan oleh Nabi SAW sebagai sebaik-baik air di muka bumi. Riwayat al-Ṭabarānī dalam Al-Mu’jam Al-Kabir 11: 98
Mengenyangkan seperti makanan – Abu Dhar RA pernah hidup hanya dengan minum air Zamzam selama 30 hari dan tidak merasa lapar. Riwayat Muslim, no. 2473.
Menyembuhkan penyakit – disebut dalam hadith sebagai air yang menjadi ubat pelbagai penyakit, termasuk demam. Riwayat Aḥmad, no. 2649; al-Ṭabarānī dalam Al-Mu’jam Al-Kabir 11: 98
Mengikut niat peminumnya – air ini memberi manfaat berdasarkan apa yang diniatkan sewaktu meminumnya, seperti ilmu, kesembuhan, atau kehausan di akhirat. Riwayat Ibn Mājah, no. 3062.
Para ulama dan cendekiawan turut mengkaji kandungan air ini secara saintifik bagi membuktikan kebenaran manfaatnya. Maka, minum air Zamzam bukan hanya ibadah, tetapi juga penghayatan terhadap anugerah Allah yang agung.
Menurut al-Bājūrī, pandangan muktamad bagi penggunaan air Zamzam bagi menghilangkan najis adalah harus. Namun meninggalkan cara tersebut adalah lebih utama (khilāf al-awlā). Lihat Hāshiyah al-Bājūrī alā Fatḥ al-Qarīb, 1: 35.